Knowledge Sharing

Cara Baca Geran Tanah

Perkongsian mendalam tentang perbezaan antara Hakmilik Sementara (Qualified Title) dan Hakmilik Akhir (Final Title) yang dikongsikan dalam fb Muhd Aman.

Nak tahu sama ada Hakmilik Sementara yang kita beli atau miliki itu telah ada permohonan untuk mendapatkan Geran Akhir (Final Title) oleh juru ukur atau tidak, sila, tengok pada bahagian yang ditulis No. Permohonan Ukur pada geran tanah Hakmilik Sementara tersebut.

Jom baca……

.

Satu ilmu “rahsia” bila baca geran tanah.

Ini salah satu geran tanah lot banglo saya di sepang, selangor. 2 keping geran tanah negeri selangor ini merujuk kepada satu tanah lot banglo yang sama. Cuba kita lihat perbezaan 2 geran tanah ini. Satu tajuk “hakmilik sementara” manakala satu lagi tajuk “geran mukim”.

Ditangan saya sekarang geran “hakmilik sementara” sudah tiada (telah diserah kepada pejabat tanah daerah). ia telah diganti dengan “geran mukim”. Nama lain geran mukim ini ialah “hakmilik tetap”.

Cuba kita lihat pada geran mukim ada ditulis “nombor pelan diperakui : PA xx” (Pelan Akui). Dengan adanya PA ini barulah pihak pejabat tanah daerah boleh mengeluarkan “geran mukim”.

[[ UPDATE 2019 ]] 38 Sample Barangan Yang Anda Boleh Dapat Secara PERCUMA !

Untuk mendapatkan PA pula, satu permohonan kepada pihak JUPEM perlu dimajukan oleh juruukur tanah berlesen yang dilantik oleh tuan tanah. coba kita lihat geran “hakmilik sementara” ada ditulis “no. permohonan ukur : J.T Berlesen xx”. dengan adanya nombor ini pada geran tersebut menunjukkan permohonan untuk mendapatkan PA kepada JUPEM telah dibuat.

Awas!.. sekiranya kita beli tanah yang mana geran tanah itu “hakmilik sementara” yang tiada “no. permohonan ukur” maka bak kata orang kelantan “pah ceroh” (sampai bila bila pun) kita tidak akan dapat “geran mukim” atau hakmilik tetap. kekallah geran tanah kita “hakmilik sementara”. Alamat tanah akan guna nombor PT bukan nombor Lot. (disertakan 2 contoh geran tanah “hakmilik sementara lain yang tiada no. permohonan ukur).

Setiap kategori tanah yang masih tiada PA (pelan akui), tanah tersebut mempunyai kekurangan dari segi teknikal, ia tidak boleh dipecah sempadan, pecah bahagian atau dicantum kerna kedudukan tanda sempadan serta ukuran luas tanah belum dimuktamadkan oleh JUPEM.

Kredit fb Muhd Aman

JENIS-JENIS GERAN HARTANAH YANG PERLU ANDA KETAHUI.

1. Selalu saya dengar dialog berikut “Ehh.. kenapa saya punya geran tulis Hakmilik Sementara, awak punya Geran Negeri? Saya punya ni bukan geran ker? Kenapa sementara pulak? Macam mana cara saya boleh dapat “geran” macam awak dapat?”

2. Memang ada pelbagai jenis geran dan ramai pun yang tak tau jenis-jenis geran ni. Sebab geran-geran ni ada kaitan dengan hakmilik, pegangan dan pengukuran halus ke atas hartanah.

3. Secara asasnya, bila pemberimilikan hartanah diluluskan, ia akan diberikan samada kepada Hakmilik Pentadbir Tanah atau Hakmilik Pendaftar Negeri.

4. Hakmilik Pentadbir Tanah diberikan kerana hartanah berkenaan bertaraf Tanah Desa bawah 10 ekar. Rekod geran ini disimpan di Pejabat Tanah & Daerah (PTD). Hakmilik ini biasa disebut “geran mukim”.

5. Hakmilik Pendaftar Negeri diberikan kerana hartanah berkenaan bertaraf Tanah Bandar atau Tanah Pekan atau Tanah Desa berkeluasan lebih 10 ekar. Rekod geran ini disimpan di Pejabat Tanah dan Galian (PTG).

6. Semua geran awal yang diberi kepada pemilik ini belum diukur halus. Sebab itu dinamakan Hakmilik Sementara. Jika Hakmilik Sementara ini di bawah hakmilik Pentadbir Tanah, ia disebut HSM. Jika Hakmilik Sementara ini di bawah hakmilik Pendaftar Negeri ia disebut HSD.

7. Jika diikutkan, geran-geran ini perlu diberikan hakmilik muktamad (final title) iaitu hakmilik yang telah diukur halus. Tetapi memandangkan proses untuk mengeluarkan geran yang telah diukur halus mengambil masa yang lama, maka sebab itulah dikeluarkan dahulu geran Hakmilik Sementara.

8. Dengan geran Hakmilik Sementara ini, pemilik hartanah boleh segera berurusniaga seperti menjual, memajak, menggadai dan sebagainya.

9. Tujuan ukur halus adalah untuk mendapatkan ukuran muktamad keluasan satu-satu hartanah berkenaan. Kebiasaannya, akan berlaku perubahan luas kepada hakmilik sementara apabila diukur halus untuk mendapatkan hakmilik muktamad (final title). Perbezaan ukuran ini akan menyebabkan pengurangan atau penambahan kepada cukai tanah pemilik tersebut.

10. Hakmilik muktamad (final title) ini pula diperlukan jika satu-satu pembangunan hendak dilaksanakan di atas tanah berkenaan. Ia bagi memastikan binaan bangunan yang didirikan berada betul-betul di dalam sempadan lot tersebut dan tidak memasuki lot bersebelahan.

11. Hakmilik-hakmilik yang telah diukur halus dan diberikan hakmilik muktamad (final title) akan diberikan nama geran yang berbeza seperti dalam rajah ditunjukkan.

12. Jika hakmilik Pentadbir Tanah pegangan freehold, ia dinamakan Geran Mukim. Sebaliknya, jika pegangan leasehold, ia dinamakan Pajakan Mukim).

13. Jika hakmilik Pendaftar Negeri pegangan freehold, ia dinamakan Geran Negeri. Sebaliknya, jika pegangan leasehold, ia dinamakan Pajakan Negeri.

14. Jadi, lepas ni jangan keliru jika “geran” awal yang diberikan kepada anda adalah Hakmilik Sementara. Ia tetap geran. Hanya tunggu masa sahaja ia ditukarkan kepada hakmilik muktamad.
.

Kredit fb tanahkosong.com

Sebarang komen dan pandangan amat kami hargai